Sunday, September 6, 2009

Tazkirah Ramadhan SEMPEN

Bulan Ramadhan bulan yang mulia. Kita sangat digalakkan menghidupkan bulan ramadhan dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti membaca al-Quran, solat tarawih, qiamullail, bersedekah, berzikir, berselawat dan banyak lagi amal kebaikan yang lain.

Pahala puasa dan ibadat yang kita lakukan pada bulan ramadhan dilipatgandakan oleh Allah SWT berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w…: " Setiap amalan anak Adam itu dilipatgandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga 700 kali ganda"

Puasa Ramadhan banyak fadhilat dan kebaikannya....Antaranya ialah

1- mendidik nafsu yang lebih banyak mengajak kepada keburukan agar berubah menjadi nafsu yang tenang dan tenteram serta bersedia menjunjung perintah Allah SWT.

2- Mendidik jiwa bersifat sabar dan tabah menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran menempuh perjuangan hidup

3- Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah yakni keji seperti tamak, sombong, hasad dengki, mengumpat, menipu, berbohong dan banyak lagi.


4- Memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud " Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat" Sabda Baginda lagi " Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu adalah punca penyakit"

5- Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat belas kasihan terhadap orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik

6- Menginsafkan diri kita bahawa kita adalah makhluk dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri kepada Allah SWT dan mengharap limpah kurniaNya.

Amalan puasa diwajibkan, antara lain untuk memerangi syaitan.
Selain berlapar dan menahan diri daripada makan dan minum, kita juga dikehendaki menjaga pendengaran, penglihatan dan perkataan atau pertuturan kita.

Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. dengan berpuasa, syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah sebagai tempat laluannya.

Telinga turut berpuasa dari mendengar yang haram, mulut dari mengeluarkan kata-kata yang tidak baik, mata pula dilarang melihat perkara yang haram.

Ini dilakukan dengan penuh ketaatan dan keyakinan, syaitan tidak berpeluang memerangkap kita di bulan ini. Tambahan pula pada bulan ini ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga....

Antara amal ibadat yang sangat digalakkan dalam Islam dalam bulan ramadhan ialah Qiamullail
Qiyamullail (tarawih) di bulan Ramadhan ini sebaiknya dilakukan dengan berjamaah agar tercatat sebagai orang yang melakukan qiyamullail (secara sempurna),

sebagaimana disebutkan dalam hadits, ertinya, ،"Barang siapa yang mendirikan solat malam bersama dengan imam sampai selesai maka dicatat baginya solat satu malam.، (Riwayat penulis as-Sunan)

Oleh itu, janganlah kita lalai menyempurnakan solat tarawih dengan ikhlas serta mengharap keampunan Allah SWT...

Selain Qiamullail, kita hendaklah Berusaha Meraih Lailatul Qadar.Keutamaan malam ini amatlah besar, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qadr yang bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apa malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.،¨ (Surah al-Qadr: 1-3)

Ini bermakna, sesiapa yang meraih malam Lailatul Qadr akan dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain.

Kebanyakan ulama' menegaskan kemungkinan berlaku malam lailatul Qadr pada salah satu daripada malam ke sepuluh terakhir. Orang yang tekun beribadat pada malam-malam tersebut akan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Bersahur adalah makanan yang berkat. Rasulullah s.a.w bersabda: "Makanan sahur semuanya bernilai berkah, maka jangan anda tinggalkan sahur sekalipun dengan seteguk air. Allah SWT dan para malaikat mengucap salam kepada orang-orang yang makan sahur". (Hadis Riwayat Ahmad)
Sabda Rasulullah a.a.w ;" Perbezaan antara puasa kita (orang Islam ) dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Riwayat Muslim).

Pada bulan Ramadhan, selain berpuasa kita sangat dituntut / sunat memperbanyakkan zikir, berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT yakni memohon keampunan atas segala dosa yang telah kita lakukan. Antara waktu-waktu yang mustajab untuk dimakbulkan doa ialah;

1. ketika berbuka puasa
2. sepertiga malam terakhir
3. beristighfar pada waktu sahur
4. hari Jumaat terutama di akhir siang (menjelang asar)

Sekian untuk renungan bersama.

2 comments:

  1. bagus juga kalu kita buat satu blog utk lapor segala aktiviti panitia PAi n Tasw SEMPEN. bule bincang dlm meeting panitia lantik seorang penyelaras blog panitia... cmana? saya pun br nak belajar buat blog....

    ReplyDelete
  2. salam...bagus cadangan ustaz tu..nanti kita bincang.

    ReplyDelete